Fajar menyingsing. Bagai hari-hari lain. Lima sekeluarga keluar memandu ke seberang pekan. Tiba-tiba berlaku pertembungan. Logam, plastik serta isi daging berceraian. Tiga maut, dua parah. Namun pemandu lori laju yang mabuk ketika melanggar mereka hanya mengalami lebam. Kenapa?
Seorang diktator merampas kuasa, lalu berjuta rakyat menderita di bawah penindasannya. Kenapa?
Kata doktor, “Saya ada beberapa berita buruk,” kemudian menjelas dengan sedih bahawa anda menghidap kanser. Kenapa?
Cerita sebegini terungkai setiap hari. Adakalanya, kita sekadar terdengar melalui orang kedua atau pada laporan berita malam, manakala di waktu lain, ianya kisah diri sendiri. Sekembali tenang dari kejutan, kita tidak terdiam tanpa diasak soalan paling munasabah: Jika Tuhan maha kuasa dan baik, mengapa pula kita harus menderita? Sukar hendak dibayangkan soalan yang lebih besar dan penting daripada itu. Hakikatnya, kita lambat laun juga akan menyoal perkara tersebut.
Rupanya tiada banyak jawapan untuk dipilih. Fikirkanlah. Sama ada Tuhan itu sanggup atau tidak mencegah perkara buruk, dalam apa jua hal, Dia nampak kurang berkuasa. Atau, Tuhan sebenarnya mampu menghalang kejadian buruk namun Dia enggan, dalam apa jua hal, Dia nampak tidak begitu baik. Ataupun, wujud pilihan ketiga: iaitu Tuhan mampu dan mahu bertindak, namun Dia juga Pengasih, di mana terdapat garisan yang tidak akan dilanggar Tuhan, yakni hak kebebasan kita untuk memilih.
Alkitab mengajar tentang kedudukan ketiga, dan ia bahkan sukar untuk membayangkan jawapan yang lebih elok mahupun lebih menenangkan daripada itu. Secara ringkas, riwayat kisah manusia dalam Alkitab berbunyi demikian:
1. “Tuhan itu Kasih” (1 Yohanes 4:16). Inilah asas, dasar kebenaran tentang Tuhan.
2. Justeru, “Maka Allah menciptakan manusia itu menurut gambar-Nya.” (Kejadian 1:27). Iaitu, Tuhan menjadikan manusia dengan keupayaan untuk mencinta seperti Tuhan – dengan mengamal kebebasan memilih.
3. Setelah dicipta dengan kebebasan memilih, justeru mampu mencinta, manusia telah “berdosa dan jatuh” dari kedudukan kemuliaan moral di asal penciptaan mereka (Roma 3:23).
4. Namun ada berita baik: Tuhan sedang mengerjakan satu pelan penyelamatan hebat, melaluinya, setiap manusia yang sudi akan “diselamat melalui kasih kurnia… melalui iman” (Efesus 2:8) – Bukan secara paksaan, tetapi melalui daya penarik kasih Tuhan. Kasih adalah satu-satunya cara Tuhan memusnahkan kejahatan dan penderitaan, dalam pada itu juga memelihara kebebasan kita untuk memilih, dan besertanya keupayaan kita untuk mencinta.
Adakah Ia Adil?
Sebagai jawapan ringkas, kita terseksa kerana semua – di masa lampau dan sekarang – telah memilih kejahatan, dan kejahatan menghasilkan penderitaan. Ia tidak adil, malahan tidak munasabah. Dosa, secara takrifan, tidak adil, tidak saksama, menyakitkan dan salah. Namun, seperkara lagi adalah: ia bukan kehendak Tuhan. Tuhan tidak mahu kita menderita. Tetapi Dia juga enggan menjadikan kita hamba atau robot. Menjadi manusia bererti bebas, dan kebebasan bermakna kita boleh memilih kebaikan atau kejahatan berserta kesan yang menyusul.
Sejujurnya, kasih tidak terwujud tanpa kebebasan memilih, dan sifat alamiah kebebasan itu sendiri membenarkan pilihan buruk. Oleh itu, jika kita beranggapan kerana Tuhan itu baik, justeru tidak akan membenar sesiapa melakukan apa saja yang boleh manyakitkan diri atau orang lain; sangkaan kita itu sebenarnya meleset. Kebenaran adalah sebaliknya: Oleh sebab Tuhan itu baik, maka Dia harus membenar kita membuat pilihan baik atau buruk, serta menanggung akibat sendiri. Tuhan sentiasa dan hanya mahukan kita memilih yang baik, namun bukan secara paksaan. Dia tidak pernah meniatkan kejahatan (beserta sengsara yang menyusul pilihan itu). Penderitaan adalah hasil sampingan daripada pilihan yang dibuat manusia, bukan Tuhan. Itulah realiti sebenar kebebasan.
Pun begitu, Tuhan sangat baik hinggakan tidak sanggup terus tersisih atau diasing dari penderitaan kita. Menurut Alkitab, Dia “turut merasakan kelemahan-kelemahan kita” (Ibrani 4:15). Tentang hubungan Tuhan dengan kedukaan manusia, nabi Yesaya berkata, “Ia

sendiri ditimpa kesusahan mereka” (Yesaya 63:9 IBIS). Begitu dalamnya kasih Tuhan terhadap setiap umat manusia, hinggakan Yesus berkata bahawa sebarang perbuatan kita terhadap satu sama lain seolah-olah diperlakukan keatas diri-Nya juga (Matius 25:41-45). Segala penderitaan menyentuh Tuhan. Dia sedar akan segala tangisan kita serta kesedihan, kedukaan, dan kesengsaraan di balik itu. Raja Daud pernah menyanyikan simpati Tuhan yang mendalam: “Engkau menghitung hari-hari pengembaraanku, dan tahu jumlah air mataku; tidakkah Engkau memperhitungkannya?” (Mazmur 56:8,). Demikianlah Kasih. Ia turut menderita bersama mereka yang menderita.
Tuhan Rasa Kedukaan Kita
Namun di sinilah kisahnya bertambah lebih menarik. Bukan sahaja jauh di benak hati, Tuhan merasai kedukaan kita, malah Dia telah menerjuni kedukaan kita demi menggarap jalan terbaik untuk membebaskan kita. Yesus Kristus datang untuk, “…mengalami (merasakan) maut bagi semua manusia.” (Ibrani 2:9). “Dia memikul kedukaan kita dan membawa kesedihan kita…dia tertikam oleh karena pemberontakan kita…tetapi TUHAN telah menimpakan kepadanya kejahatan kita sekalian.” (Yesaya 53:4-6). Hakikat bahawa Tuhan turut merasa sakit kita memberi bukti terbesar tentang kasih-Nya. Dia tidak membiar kita merana keseorangan. Perkara yang menjadikan Tuhan Alkitab itu sungguh menakjubkan adalah Dia telah turun ke dunia dan mengalami kesengsaraan kita secara sukarela.
Walau apa saja yang datang, ada dua kebenaran yang pasti kekal: Pertama, Tuhan itu kasih dan Dia sangat mengasihi anda secara peribadi. Kedua, Tuhan akan membetulkan segala kesalahan dan menyembuh luka yang diperlakukan dunia keatas anda. Semasa Yesus derita dan mati di kayu salib, Dia sudah buktikan bahawa Tuhan masih menyayangi manusia yang telah jatuh menderita, malahan lebih daripada Nyawa Sendiri, dan Dia jamin bahawa semua yang beriman kepada-Nya akan beroleh masa depan gemilang dan bebas penderitaan. Janji Alkitab yang telah dijamin melalui kematian Kristus di salib adalah untuk anda:
“Dan Ia akan menghapus segala air mata dari mata mereka, dan maut tidak akan ada lagi; tidak akan ada lagi perkabungan, atau ratap tangis, atau dukacita, sebab segala sesuatu yang lama itu telah berlalu.” (Wahyu 21:4).

Suffering_Malay-260x390