Kesihatan itu lebih daripada sekadar tidak sakit. Kesihatan baik adalah hidup dalam keupayaan fizikal, mental, sosial dan spiritual yang penuh. Alkitab menggelarnya kehidupan yang “berlimpahan” (lihat Yoh. 10:10), dan inilah apa yang Tuhan mahu anda miliki. Dia berkata, “…aku berdoa, semoga engkau baik-baik dan sehat-sehat saja dalam segala sesuatu.” (3 Yoh 2,).
Untuk membantu anda alami kehidupan ini, Tuhan telah memberi beberapa langkah mudah kearah kesihatan lebih baik. Anda tidak dapat mengawal segala penyebab penyakit atau kemalangan, tetapi anda boleh membuat pilihan yang mengurangkan risiko dan menggalakkan kesihatan. Berikut adalah lapan langkah mudah bagi mengecapi kesihatan lebih baik yang boleh diamalkan terus hari ini.
Langkah 1: Nutrisi
Makanan yang diambil mempengaruhi perasaan dan keupayaan anda menikmati kehidupan. Oleh itu, menyediakan makanan terpilih yang elok dan bernutrisi adalah penting. Diet asal di taman Firdaus merangkumi buah-buahan, bijirin, kekacang, dan biji-bijian.
Selepas kejatuhan, herba, iaitu makanan haiwan sebelum ini telah ditambah keatas diet manusia. Menariknya, ia tidak termasuk produk haiwan yang tinggi kolesterol. Jika negara-negara barat menerima diet vegetarian, banyak penyakit membunuh seperti pengerasan arteri akan tercicir di sisi jalanan. Kajian demi kajian menunjukkan diet Ciptaan Tuhan yang berasaskan tumbuhan mengungguli diet-diet lain. (lihat Kej. 1:29, 30)
Langkah 2: Senaman
Tubuh anda direka untuk bergiat aktif. Kemantapan fizikal bererti anda mampu melakukan segala perkara yang perlu buat setiap hari – bahkan masih bertenaga untuk bersama keluarga dan beriadah.
Satu rutin senaman harian yang mudah akan membantu anda capai tahap kecergasan fizikal sebegini. Berjalan kaki adalah satu cara hebat untuk bermula. Mulakan senaman secara perlahan dan tingkatkan masa serta kekuatan secara beransur. Anda mungkin pernah dengar “tiada sakit; tiada faedah,” namun ini tidak tepat. Kesakitan mungkin menandakan kegiatan anda itu sudah keterlaluan. Bersenamlah sehingga anda boleh bernafas dalam, dan bukan sehingga sesak. Tiga puluh minit sehari adalah sasaran terbaik. Memandangkan manfaat senaman boleh terkumpul, maka tempoh singkat, tiga hingga lima kali seminggu pun sudah memadai.
Tiada masa bersenam? Seringkali, masa yang terluang dalam masyarakat kita dipadat dengan pelbagai hiburan pasif seperti TV, permainan video, dan internet. Saat seseorang itu bertekad memadamkan komputer, TV, dan permainan video, dan menggantinya dengan senaman sihat, ia lazimnya berakhir dengan kesihatan memuncak! Anda bakal temui banyak faedah senaman–berat badan terkawal, stres terurus, sistem ketahanan diperkuat, dan risiko penyakit juga turun. Senaman boleh melanjutkan usia, namun lebih penting lagi, ia menambahkan keceriaan pada tahun-tahun yang dilalui.
Langkah 3: Air
Air adalah intipati kehidupan. Ramai menjadikan rasa dahaga sebagai panduan berapa banyak air yang harus diminum, namun kedahagaan adalah tanda awal bagi dehidrasi tubuh. Kita semua kehilangan air setiap hari melalui kencing, najis, peluh, dan penyejatan dalam peparu. Oleh itu, orang dewasa perlu minum sekitar enam hingga lapan gelas air setiap hari – malah lebih banyak pada cuaca panas atau ketika bersenam. Air penting bagi fungsi ginjal, melaras suhu badan, dan mengekalkan cecair tubuh. Maka, minumlah. Air itu baik untuk anda dan bebas kalori!
Ingatlah, kopi, soda, dan alkohol bukan pengganti air! Mereka adalah ancaman besar terhadap kesihatan anda. Bahkan, kajian mendapati kopi sebenarnya menghauskan lebih banyak cecair daripada tubuh anda berbanding sebaliknya!
Langkah 4: Matahari
Anda mungkin tidak terfikir bahawa matahari boleh mempengaruhi kesihatan. Tetapi, pernahkah anda perasan bahawa diri anda lebih mudah murung dan kecewa semasa musim sejuk, di mana cahaya siang lebih singkat dan cuaca sering mendung atau hujan?
Sinaran matahari juga membantu tubuh anda menghasilkan vitamin D. Nutrien penting ini mengawal hormon tubuh dan perkembangan sel; ia membantu tubuh menyerap serta menggunakan kalsium untuk tulang dan gigi yang kuat; di samping berfungsi membina ketahanan serta sistem saraf yang sihat.
Begitupun, terlalu banyak sinaran matahari juga boleh merosak dan menimbulkan kanser kulit. Oleh itu, elakkan pendedahan berpanjangan pada cahaya terik; pakai topi dan sapukan losyen pelindung.
Langkah 5: Keseimbangan atau Kesederhanaan
Gaya hidup seimbang adalah gaya hidup sihat. Ini tidak bererti “semuanya dalam kesederhanaan.” Sebaliknya, ia bermaksud menyerap semua perkara dan tabiat baik yang menggalakkan kesihatan dengan teliti, sementara mengelak semua perkara dan tabiat yang memusnah kesihatan. Keseimbangan adalah gaya hidup yang meningkatkan mutu kehidupan. Contohnya, tabiat melahap menuntun kepada gangguan perut dan/atau obesiti. Kurang makan pula membawa kearah malnutrisi atau kelaparan. Kerja berlebihan menjurus kearah keletihan atau kecederaan. Manakala kurang bekerja pula menyebabkan kemalasan dan kelemahan otot. Kesederhanaan adalah kunci konsep kehidupan yang sihat dan bahagia.

Langkah 6: Udara
Kepentingan udara sememangnya diketahui umum. Lagipun, kita cuma mampu hidup beberapa minit sahaja tanpa bernafas. Namun mutu udara yang dihela juga penting. Pencemaran udara boleh menyebabkan gangguan kesihatan serta maut jika bahan tercemar menjadi pekat selama beberapa hari atau minggu – terutama bagi golongan terlalu muda dan terlalu tua, atau mereka yang sesak jantung atau berpenyakit peparu kronik.
Merokok adalah sejenis pencemaran udara yang paling mudarat. Kesan kerosakkan rokok amat diketahui umum sehingga tidak disangkal sebagai pembunuh. Demi mengekalkan kesihatan baik, nafaslah udara segar dan bersih secara dalam.
Langkah 7: Rehat
Kajian demi kajian terus menunjuk golongan dewasa perlu tidur sempurna selama lapan jam setiap malam agar dapat berfungsi dengan berkesan. Kita mungkin mampu bertahan dengan tidur yang singkat, namun kekurangan tidur adalah masalah serius dalam masyarakat kini yang serba pantas.
Selain beroleh tidur yang cukup, anda perlu menyelitkan kegiatan riadah dalam kehidupan anda. Sehari dalam suasana alam semulajadi, berjalan di pergunungan atau menelusuri pantai boleh menyegarkan dan membantu anda menghadapi stres dengan lebih baik. Tuhan tahu kita perlukan rehat dan relaksasi, dengan memberi cuti mingguan, iaitu rehat Sabat hari ketujuh (lihat Kel. 20:8-11).
Langkah 8: Yakin Terhadap Tuhan
Dimensi kesihatan rohani bahkan lebih penting bagi menyempurnakan kesejahteraan anda berbanding faktor-faktor fizikal. Stres, kebimbangan, dan rasa bersalah boleh meniris daya hidup anda dan mengganggu kesihatan. Kepercayaan terhadap Tuhan, Pencipta anda, memberi tujuan hidup yang membantu anda mengatasi kesan negatif stres, kebimbangan, dan rasa bersalah.
Anda boleh meningkatkan keyakinan terhadap Tuhan dengan membaca Firman-Nya, Alkitab, secara harian (lihat Roma 10:17). Untuk mempelajari Tuhan dan Alkitab dengan lebih mudah, dapatkan tawaran percuma di paparan belakang. Tuhan berkata, “…orang-orang yang menanti-nantikan TUHAN mendapat kekuatan baru: mereka… berlari dan tidak menjadi lesu, mereka berjalan dan tidak menjadi lelah.” (Yes. 40:31,). Kepercayaan terhadap Tuhan adalah satu aspek penting bagi kesihatan yang baik.
Kesimpulan
Meskipun kesemua lapan langkah kesihatan itu nampak mudah, namun ia cukup ampuh. Terapkan amalan tersebut dalam kehidupan harian anda hari ini – dan lihat sendiri perbezaannya!

Steps-to-Health-Malay-260x390