Kematian mendadak Micheal Jackson pada June 25, 2009 mengejutkan dunia. Di upacara peringatan pada 7 July di Staples Center, Los Angeles, pelakon Brooke Shields berusaha keras menenteramkan kesedihan peminat Raja Pop itu apabila mengeluh dengan tangisan, “kita harus lihat ke atas, tempat dia bertenggek di bulan sabit.”
Ke manakah Micheal Jackson sebenarnya? Ke manakah semua orang setelah mati? Adakah orang salih melayang ke syurga sementara yang berdosa terjun ke neraka? Wujudkah “tangki sementara” yang dipanggil purgatory? Adakah kita akan terjerumus berapungan dalam dunia roh? Bagaimana pula dengan kelahiran semula? Mungkinkah kita kembali sebagai tikus?
Dunia ini penuh dengan teori bercanggah, namun kita hanya akan merujuk pada satu sumber: Kitab Suci. “Wahyu,” buku terakhir dalam Alkitab, memberi amaran tentang seorang malaikat jahat bernama Setan yang “menyesatkan seluruh dunia” (Wahyu 12:9). Jika ini benar, maka tidak terharaplah sebahagian besar manusia akan betul dalam segala hal, terutama tentang kejadian yang menimpa seseorang setelah meninggal dunia – sesudah diisyitihar, “abu ke abu, debu ke debu” oleh pengkhutbah di hujung upacara pengkebumian.
Tiga Pendapat Utama
Mari kita mula dengan mempermudahkan beberapa perkara. Iaitu, ada tiga pendapat utama tentang kematian, kebanyakan teori lain akan termasuk di sini.
Anda mati dan itulah penamat – yang pertama ini agak popular – meskipun kurang berangsang – dan sedang dipromosi oleh mereka yang percaya realiti mutlak boleh disimpul mengikut keterangan sains. Berdasarkan dogma mereka, “apa yang dilihat adalah apa yang anda dapat.” Mereka anggap kematian sebagai penutup. Kita mati, reput dalam tanah, dan jadi makanan cacing, itu saja. Anda pergi buat selamanya.
Jiwa abadi – Pandangan kedua ini, antara yang paling lazim, mengajar bahawa tubuh sahaja yang reput ketika mati, sementara Kesedaran Tinggi, atau “roh,” terus merantau, bak seekor ular menukar kulit. Pandangan agama berlainan pasti sering menyanggah satu sama lain, namun idea asas “keabadian jiwa” ini turut dikongsi kebanyakan mereka.
Jiwa (roh) fana dan Kebangkitan semula – Hujah terakhir berpandangan bahawa perkataan “jiwa” merujuk pada keseluruhan manusia itu sendiri, dan bukannya aspek abadi tertentu yang terlepas setelah tubuh fizikal musnah. Semasa Tuhan mencipta Adam, Dia “menghembuskan nafas hidup ke dalam hidungnya; demikianlah manusia itu menjadi makhluk (jiwa) yang hidup.” (Kejadian 2:7 ITB, penegasan ditambah). Justeru, manusia tidak punyai jiwa berasingan, dalam kata sebenar, dirinya adalah satu jiwa. Setelah manusia berdosa, keseluruhan dirinya atau jiwa menjadi fana, tertakluk pada kematian. Bila orang berdosa mati, mereka kembali menjadi debu, dan “nafas hidup” pulang kepada Tuhan. “Nafas” ini bukan hantu sedar yang boleh melawat ke Chicago setelah jasadnya terkubur di Detroit. Ia sejenis pencetus nyawa yang wujud dalam segenap makhluk hidup. Menurut pandangan ini, seseorang itu benar-benar mati secara keseluruhan, iaitu tidak sedar, senyap, dan tidur dalam kubur, menunggu Hari Kebangkitan.
Pandangan manakah yang betul? Sebagai permulaan, kami menolak doktrin ateis sebab kami percayakan kewujudan Tuhan serta kebenaran Firman-Nya, termasuk syurga dan neraka. Bagaimana pula dengan pendapat sebelum ini yang menentang sifat alamiah jiwa? Apakah yang diajar Firman Tuhan?
Fakta Alkitab Tentang Kematian
Sebagaimana yang telah dilihat, Alkitab mengajar bahawa Tuhan membentukkan Adam sehingga “menjadi makhluk (jiwa) yang hidup” (Kejadian 2:7 ITB, penegasan ditambah). Bertahun kemudian, “tujuh puluh jiwa” menuju ke Mesir (lihat Keluaran 1:5). Konteks itu bukan bercakap tentang hantu, melainkan tujuh puluh manusia hidup yang pergi ke Mesir. Faham? Satu jiwa adalah seorang manusia.
Fakta seterusnya: manusia yang jatuh tidak kekal abadi. “Keabadian” dalam mana-mana senarai kata Alkitab hanya diaplikasi pada Tuhan. Tuhan “sahaja yang kekal abadi” (1 Timotius 6:16), dan hanya apabila umat suci telah dibangkit pada Kedatangan Kedua Yesus Kristus, barulah “sifat fana” akan “mengenakan keabadian” (1 Korintus 15:54). Nyata sekali, umat suci tidak akan “mengenakan” kewujudan kekal jika mereka sudahpun memilikinya sebelum ini.
Selanjutnya, kematian, dalam Alkitab dipanggil “tidur.” Dalam Perjanjian Lama, Raja Daud mendoakan perlindungan daripada “tertidur dan mati” (Mazmur 13:3). Di saat pengakhiran dunia, mereka “yang telah tidur dalam debu tanah, akan bangun” (Daniel 12:2). Begitulah, orang mati tidur, terbaring aman “dalam debu tanah” sampai Hari Kebangkitan.
Sekarang, inilah penyudahnya. Alkitab menegaskan, “orang yang mati tidak tahu apa-apa” (Pengkhotbah 9:5). “Tidak tahu apa-apa” bererti tiada, kosong. Solomon menjelas bahawa

“tak ada pekerjaan, pertimbangan, pengetahuan dan hikmat dalam dunia orang mati, ke mana engkau akan pergi.” (Pengkhotbah 9:10). Tulisan Daud mengulangi, “Bukan orang-orang mati akan memuji-muji TUHAN, dan bukan semua orang yang turun ke tempat sunyi” (Mazmur 115:17, penegasan ditambah). Justeru, golongan mati, tidur dengan senyap. Mereka tidak menjerit di atas mahupun melolong di bawah, malah tidak dapat mengetuk pintu anda selepas tamat upacara kematian sendiri. Dalam kata lain, Micheal Jackson tidak menarikan “moonwalk” di mana-mana tempat dalam cakerawala. Sebaliknya, dia sudah mati, berada dalam kubur, dan menunggu Hari Penghakiman (Ibrani 9: 27).
Apa yang berlaku pada Yesus Kristus hampir dua ribu tahun dahulu merupakan kemuncak temasya segenap Alkitab. Ketika melaksanakan pelayanan suci, Yesus meramal bahawa Dia akan “dibunuh dan dibangkitkan pada hari ketiga” (Matius 16:21). Demikianlah, tidak lama kemudian Dia ditangkap, dipukul, dan disalib. Paulus menjelaskan apa yang berlaku adalah “Kristus telah mati kerana dosa-dosa kita” (1 Korintus 15:3). “Kristus telah mati” bermakna Dia benar-benar sudah mati. Tiga hari kemudian, seorang malaikat suci mengumumkan, “Ia telah bangkit dari antara orang mati” (Matius 28:7). Haleluya!
Lantaran kebangkitan Yesus Kristus, kita sudah beroleh harapan. Suatu hari nanti – lebih cepat daripada sangkaan ramai – Juruselamat kita akan kembali “dengan segala kekuasaan dan kemuliaan-Nya” bersama sejumlah malaikat yang tidak terkira (lihat Matius 24:30-31); dan bilamana Dia kembali, jelas Paulus, saat itulah “yang mati di dalam Kristus akan bangkit dahulu” dan “kita akan selama-lamanya bersama-sama Tuhan” (1 Tesalonika 4:16-17). Nescaya mereka yang percaya pada Yesus akan dibangkit untuk “bersama dengan Tuhan” pada kepulangan-Nya.
Hasil Muktamad
Hasil terakhir adalah: Kita semua tahu kematian itu wujud dan menyakitkan. Namun di balik kedukaan dan kehilangan, adalah Berita Baik bahawa Yesus Kristus mencintai kita. Dia telah membayar hukuman dosa-dosa kita, masuk ke kubur yang tidak selesa, dan bangkit hidup semula. Justeru menawan maut dan kubur. Jika kita percayakan Kemenangan-Nya, kita juga boleh mengatasi kematian. Dahulu, Yesus berjanji kepada mereka yang membalas Kasih-Nya, yang bertaubat dan yakin pada kebaikan-Nya bahawa “ia akan Kubangkitkan pada akhir zaman.” (Yohanes 6: 44).
Janji Dia adalah untuk anda hari ini.

Hope-after-death_Malay-260x398